Tuesday, June 13, 2006

BERSELAWAT TANDA SYUKUR

Selawat kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW amat digalakkan dalam Islam malah ada ketikanya diwajibkan contohnya di dalam solat. Umat Islam di anjurkan berselawat bukan sahaja pada setiap kali menyambut hari kelahirannya malah pada setiap masa
Berselawat bermakna berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada Rasulullah SAW. Doa ini bertujuan antara lain bagi mengenang jasa baik Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berusaha mengajak manusia ke arah kebaikan, walau pun Baginda sudah wafat. Perkara ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud, katanya bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Hidupku adalah kebaikan kepada kamu dan wafatku adalah kebaikan juga kepada kamu, kerana segala amal kamu sentiasa dibentangkan kepada ku maka apa saja amal yang aku dapati baik, aku ucapkan ‘Alhamdulillah’, dan apa saja amal kamu yang aku dapati jahat, aku memohon keampunan Allah untuk kamu”.
Berselawat juga menunjukkan tanda syukur kita kepada Allah SWT kerana menurut hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Abu Daud bahawa Abu Hurairah pernah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang tidak syukurkan dan tidak mengenangkan budi yang dibuat orang kepadanya adalah orang yang tidak menghargaai dan tidak mensyukuri nikmat Allah”.
Dengan itu marilah kita berdoa agar kita menjadi umat yang sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW disamping berzikir dan memuji akan kebesaran Allah SWT. Amin.

Mohd Rasali Musa
Ketua Biro Dakwah
PKKIM 2005/06

0 Comments:

Post a Comment

<< Home