Monday, June 12, 2006

KATA KATA ALUAN YDP -PKKIM 2006

Alu-aluan Yang Dipertua PKKIM

Assalamualaikum wr wb

Rabiul Awwal menjelma lagi dan ketibaannya mengingatkan kita kepada tarikh keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad s a w. Sambutan di seluruh Negara dilaksanakan, sama ada di peringkat nasional, negeri, daerah dan juga karyah. Masjid surau, sekolah dan pejabat akan meraikannya dengan pelbagai acara. Pastinya sambutan ini mengingatkan kembali kisah perjuangan Baginda dan mengharapkan agar kita lebih memahami dan menghayatinya dengan bersungguh hati.

Tidak ada jalan lain yang terbaik selain meningkatkan iltizam kita untuk beramal dengan lebih sempurna dan mematuhi segala ajaran yang dibawa Baginda, sama ada suruhan maupun tegahan. Inilah satu-satunya benteng ampuh yang pastinya akan menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat. Dengan itu akan menguatkan azam kita mengabdi diri kepada Allah s w t. Perbanyakkanlah salawat kepada Baginda s a w, mudah-mudahan akan memberi kelapangan kepada hidup kita dan memberi syafa’at di Hari Akhirat kelak. Perhatikanlah peranan dan kelebihan Salawat ke atas Rasulullah s a w sebagaimana yang diperoleh dari salah satu kuliah agama:

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa, Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku.

1. Berkata Jibril A.S. : "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."

2 Berkata pula Mikail A.S. "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."

3. Berkata pula Israfil A.S. : "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu."

4. Malaikat Izrail A.S pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut ruh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut ruh para nabi-nabi."

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah S.A.W.? Para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang yang berselawat ke atas Rasulullah S.A.W. Dengan kisah yang dikemukakan ini, diharap kita tidak akan melepaskan peluang untuk berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah, Rasul dan para malaikat.


Wassalau’alaikum warahmatullah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home